Alat Kebolehcapaian

  • 1. Apakah syarat-syarat bagi pekebun kecil iaitu pemilik tanah di bawah 40 hektar untuk menyertai program atau memohon bantuan RISDA ini?

    Syarat untuk memohon bantuan RISDA, bagi program Tanam Semula Getah hendaklah :

    1. Dikalangan warganegara Malaysia
    2. Mempunyai tanah dengan keluasan minimum 0.1 hektar dan keluasan maksimum kurang dari 40 hektar. Pada tanah tersebut juga hendaklah mempunyai pokok getah bertoreh; ataupun pokok getah tua yang tidak ekonomik; ataupun sekiranya tiada pokok getah, tapi mengandungi tunggul getah tua; ataupun lain-lain bukti atau dokumen rasmi yang mengesahkan ada pokok getah.
    3. Tanah yang dimohon hendaklah mempunyai geran milikan yang sah
    4. Bagi tanah yang tidak memiliki hakmilik mestilah mendapatkan pengesahan pemilikan dari Pejabat tanah atau Agensi Kerajaan.
  • 2. Bolehkah pemilik tanah yang tidak mengusahakan getah atau tiada pokok getah tua serta tiada bukti ada pokok getah untuk memohon bantuan RISDA?

    Bagi kebun atau tanah yang tiada pokok getah, RISDA ada melaksanakan perluasan skop bagi Program Tanam Semula bagi tujuan supaya pekebun kecil yang memiliki tanah kosong atau tanah selain bertanam getah untuk mendapatkan bantuan tanam semula dengan tanaman getah.

    Syarat untuk memohon bantuan RISDA, bagi program Tanam Semula Getah (perluasan skop) ini hendaklah :

    1. Dikalangan warganegara Malaysia
    2. Memiliki tanah keluasan minimum 0.1 hektar dan keluasan maksimum kurang daripada 5 hektar bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah.
    3. Syarat guna tanah hendaklah ditukarkan kepada tanaman getah. Pemohon hendaklah mengemukakan resit bayaran tukar syarat guna tanah dari Pejabat Tanah dan Galian
    4. Pemilik tanah hendaklah memilik geran hakmilik yang sah
    5. Sekiranya tanah pemohon diuruskan oleh mana-mana agensi selain dari RISDA, pemohon hendaklah mendapatkan pengesahan dari Agensi Mengurus tersebut terlebih dahulu.
    6. Pemohon juga hendaklah bersetuju untuk menandatangani Surat Akujanji Penyertaan Program Tanam Semula sekiranya ingin mendapatkan bantuan ini dan;
    7. Jenis tanaman yang dibenarkan adalah tanaman getah sahaja

    Program ini hanya dibuka kepada pemilik tanah di Seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah sahaja, ini adalah kerana di Sarawak, kerajaan negeri Sarawak sudah mempunyai agensi mengurus yang bertanggungjawab mengusahakan tanah kosong ini

  • 3. Bagi mereka yang memohon bantuan serta program Tanam Semula ini, apakah kaedah tanam semula getah yang dilaksanakan di RISDA ini?

    Terdapat 2 kaedah atau pendekatan tanam semula di RISDA iaitu secara individu atau secara berkumpulan.

    Bagi tanam semula secara individu syaratnya adalah sama seperti yang telah dinyatakan tadi, tapi bagi tanam semula secara berkumpulan hendaklah disertai oleh sekurang-kurangnya 8 orang peserta atau pekebun kecil dan keluasan minimum seluas 10 hektar.

    Tanam Semula Secara berkumpulan boleh dilaksanakan melalui Tanam Semula Berkelompok iaitu diuruskan oleh peserta itu sendiri;

    Ataupun secara Tanam Semula Agensi iaitu diuruskan oleh Agensi Selain daripada RISDA contohnya FELCRA, FELDA dan lain-lain lagi;

    Ataupun Tanam Semula Komersil iaitu diuruskan oleh Syarikat Milikan RISDA itu sendiri.

  • 4. Memohon bantuan tanam semula RISDA ini, berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan?

    Kadar Bantuan Tanam Semula RISDA dalam Rancangan Malaysia yang Ke 12.

    Kadar baharu bantuan Tanam Semula RISDA adalah sejumlah :

    1. RM 13,710 per hektar bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia;
    2. RM 14,805 per hektar bagi Negeri Sarawak dan;
    3. RM 14,955 per hektar bagi Negeri Sabah

    Kadar bantuan ini akan diberikan secara lima kali ansuran/selama 5 tahun.

  • 5. Selain bantuan bekalan input pertanian, bayaran kos pembangunan kebun getah, kos penyelenggaraan kebun dan bimbingan serta tunjuk ajar oleh Pegawai Lapangan RISDA, adakah bantuan lain yang boleh pekebun kecil?

    Dalam tempoh 5 tahun, RISDA ada program atau bantuan lain yang boleh diberikan kepada pekebun kecil menyertai program tanam semula.

    Dari Bahagian Tanam Semula dan Perladangan sendiri, ada menyediakan program Prasarana Asas Pertanian.

    Program ini memberikan pembangunan infrastruktur pertanian di kebun yang sedang dibangunkan. Antara komponen program Prasarana Asas Pertanian ini adalah :

    1. Jalan Pertanian – bagi menyediakan kemudahan jalan pertanian kepada pekebun kecil untuk kerja pembangunan kebun atau memudahkan pekebun kecil untuk berulang alik ke kebun untuk kerja-kerja menyelenggarakan kebun
    2. Pembetung dan Parit – akan membina laluan menggunakan culvert bagi kebun yang mempunyai parit atau membina parit bagi tujuan sempadan atau kawalan makhluk perosak
    3. Komponen lain untuk program Prasarana Asas Pertanian adalah pembinaan jambatan, pelindung tanaman dan pagar – sekiranya laluan ke kebun perlu merentasi sungai, ataupun pagar bagi menghalang haiwan ternakan atau makhluk perosak tadi dari masuk ke kebun.

    Program seterusnya dari Bahagian Tanam Semula Dan Perladangan adalah Bantuan Tabung Pelancaran. Program Bantuan Tabung Pelancaran ini adalah khusus untuk pekebun-pekebun kecil yang membangunkan kebun secara berkumpulan iaitu Tanam Semula Berkelompok (TSB) atau Tanam Semula Komersil (TSK). Bantuan sejumlah RM 2,000 akan diberikan secara one-off kepada Jawatankuasa TSB tadi untuk menggerakkan jawatankuasa projek dalam melancarkan pengurusan projek TSB atau TSK tadi.

  • 6. Bilakah saya boleh membuat permohonan tanam semula?

    Permohonan tanam semula boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja kerana permohonan terbuka sepanjang tahun.

  • 7. Saya baru sahaja membeli tanah daripada seorang pekebun kecil. Mengikut kata pemilik lama beliau telah membuat permohonan tanam semula tetapi belum menerima kelulusan. Apakah yang perlu saya lakukan?

    Tuan hendaklah memberitahu pejabat RISDA yang berkenaan mengenai jual beli tanah yang berkaitan. Tuan perlu membuat permohonan baru kerana permohonan oleh pemilik lama dikira batal kerana beliau tidak lagi memiliki tanah tersebut.

  • 8. Saya telah membeli tanah yang mempunyai beberapa batang pokok durian, mengikut kata pemilik lama tanah ini pernah menerima bantuan tanam semula beberapa tahun lalu. Beliau tidak ingat berapa kali ansuran bantuan telah diterimanya. Saya ingin tahu sama ada saya boleh menerima bantuan sekiranya bantuan masih ada dan bagaimana caranya?

    Tuan perlu memberitahu pejabat RISDA yang berkenaan mengenai jual-beli tanah tersebut. Jika bantuan tanam semula belum habis dibayar, baki ansuran berikutnya akan dibayar kepada tuan tanpa perlu tuan membuat permohonan baru. Walau bagaimanapun, sekiranya bantuan tanam semula telah habis dibayar kepada pemilik lama, tiada tindakan selanjutnya diambil oleh RISDA.

  • 9. Saya telah membuat permohonan tanam semula dan menerima kelulusan permohonan bantuan tanam semula tetapi saya tidak mengusahakan kerja tanam semula atas tanah saya itu. Apakah saya telah melakukan satu kesalahan?

    Jika telah menerima kelulusan permohonan bantuan tanam semula, tuan tidak mengusahakan kerja tanam semula di atas tanah tuan dalam tempoh yang ditetapkan pada kelulusan permohonan tersebut dan tuan tidak memberitahu pejabat RISDA yang berkenaan sebab-sebabnya, permohonan tuan boleh ditolak / dibatalkan. Jika keadaan ini berterusan hingga melebihi dua tahun, permohonan tuan terbatal dengan sendirinya dan sekiranya tuan ingin pula meneruskan kerja tanam semula, tuan hendaklah membuat permohonan baru dan menunggu kelulusan permohonan bantuan tanam semula yang baru.

  • 10. Apakah yang dimaksudkan dengan tanam semula berkelompok (TSB)?

    Tanam Semula Berkelompok atau nama ringkas (TSB) adalah satu kaedah Pengurusan Tanam Semula di mana kebun-kebun berdekatan digabung untuk ditanam semula secara bersama dan serentak yang diuruskan oleh satu Jawatankuasa yang dilantik di kalangan pemilik-pemilik kebun yang terlibat .

  • 11. Apakah syarat- syarat utama penubuhan tanam semula berkelompok?

    Syarat-syarat penubuhan sesebuah Tanam Semula Berkelompok adalah seperti berikut:

    1. Terdapat sekurang-kurangnya lapan (8) peserta yang sanggup memberi kuasa kepada Pengerusi Jawatankuasa TSB sebagai wakil kuasa untuk menerima bantuan tanam semula (tunai dan mata benda) bagi pihak mereka.
    2. Satu Jawatankuasa TSB hendaklah dipilih di dalam mesyuarat agung tahunan yang terdiri daripada di kalangan peserta TSB tersebut.
    3. Mestilah wujud sebuah jawatankuasa yang dilantik untuk menguruskan pembangunan TSB bersama peserta.
    4. Kawasan TSB tersebut terletak dalam satu blok yang berhampiran yang layak menerima bantuan tanam semula/tanam baru.
    5. Luas minima TSB sekurang-kurangnya sepuluh (10) hektar.
    6. Ketua Pusat Tanggungjawab bersetuju untuk membangunkan kawasan itu sebagai TSB.
  • 12. Apakah yang dimaksudkan dengan Tanam Semula Komersil (TSK)?

    Tanam Semula Komersil (TSK) adalah satu kaedah menanam semula melalui penyatuan kebun-kebun kecil yang diuruskan dari peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran secara cekap dan menguntungkan.

  • 13. Apakah syarat-syarat penyertaan/ penubuhan Tanam Semula Komersil (TSK)?

    Bagi mendapatkan penyertaan pekebun kecil dan menubuhkan sesebuah TSK syarat-syarat berikut telah ditetapkan:-

    1. Sesebuah TSK tidak boleh kurang daripada 40 hektar dari segi keluasan.
    2. Pekebun kecil hendaklah bersetuju menandatangani perjanjian dengan RPSB. (Setelah menandantangani perjanjian, pekebun kecil di dalam TSK dikenali sebagai tuan tanah.
    3. Jawatankuasa Ladang (JKL) Jawatankuasa Pembangunan Ladang di peringkat tuan tanah perlu diwujudkan atau mengikut mana-mana peraturan yang sedang berkuatkuasa. Penyaluran maklumat antara RISDA/RPSB dengan tuan tanah adalah melalui Jawatankuasa Ladang yang dibentuk .
    4. Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan TSK Peringkat Negeri dan Peringkat Daerah/ Jajahan/ Bahagian antara RISDA dan RPSB perlu ditubuhkan mengikut struktur dan tugas.
    5. PRN/PRD/PRJ/PRB juga hendaklah berperanan ke atas pelaksanaan TSK.
    6. Tuan tanah hendaklah bersetuju melantik RPSB sebagai wakil kuasa untuk menerima bantuan tanam semula bagi membiayai kos pembangunan TSK.
    7. Tuan tanah boleh membenarkan RPSB menggunakan duit daripada jualan kayu getah sebagai sebahagian daripada pembiayaan sekiranya perlu.
    8. RISDA dan RPSB bersama-sama berhak untuk menerima atau menolak mana-mana kawasan yang tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai TSK.
    9. Apabila tuan tanah telah memilih sesuatu kaedah pengurusan (pengagihan pulangan/bayaran dividen) mengikut surat perjanjian yang berkaitan, mereka tidak boleh menukar kepada kaedah lain kecuali kesemua tuan tanah dalam TSK yang berkenaaan bersetuju dan RPSB meluluskannya.
  • 14. Apakah tujuan Tanam Semula Komersil (TSK) Diwujudkan?

    Antara tujuan utama Tanam Semula Komersil (TSK) diwujudkan adalah:-

    1. Untuk memberi manfaat kepada pekebun kecil dari segi kemudahan pengurusan professional dan pembiayaan pembangunan tanah mereka.
    2. Untuk membangun dan memajukan tanah pekebun kecil melalui penyatuan tanah mereka menjadi satu kawasan yang lebih ekonomik dan diuruskan secara professional.
    3. Untuk mengembleng semua sumber dan mengawal perbelanjaan bagi memaksimumkan pulangan secara berterusan kepada pekebun kecil.
    4. Untuk mengadakan tenaga kerja mahir sepenuhnya.
    5. Untuk mempercepatkan penggunaan teknologi yang berkesan dalam semua bidang.
    6. Untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi.
    7. Untuk mempercepatkan kecekapan pemasaran.

 

Untuk sebarang pertanyaan lain, sila klik disini