Laman Utama > Perkhidmatan > Bantuan Tanam Semula > Inisiatif > Sosial Institusi

PROGRAM PEMBANGUNAN INSTITUSI PEKEBUN KECIL (PIPK)

RISDA telah melaksanakan Program Pembangunan Institusi Pekebun Kecil (PIPK) yang melibatkan pekebun kecil dan ahli isi rumah pekebun kecil. Matlamat program adalah meningkatkan penglibatan pekebun kecil dan Ahli Isi Rumah (AIR) dalam aktiviti-aktiviti pembangunan modal insan. Selain itu, meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti huluan dan hiliran seterusnya meningkatkan pendapatan.

Fokus pelaksanaan adalah kepada empat (4) aktiviti utama iaitu Koperasi Pekebun Kecil (KPK), Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK), Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) dan Tenaga Kerja Pekebun Kecil (TKPK).

1. KOPERASI PEKEBUN KECIL (KPK)

Koperasi Pekebun Kecil (KPK) adalah satu mekanisma untuk merealisasikan hasrat RISDA dalam meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil melalui penglibatan mereka dalam sektor ekonomi dengan penggembelengan tenaga, modal dan kemahiran.
Objektif penubuhan KPK adalah untuk membina entiti perniagaan berskala lebih besar meliputi kepentingan pembangunan anggota, membina jaringan perniagaan tempatan secara lebih meluas,memperkasakan peranan koperasi dalam memberi perkhidmatan kepada ahli, meningkatkan keupayaan koperasi supaya dapat bersaing di pasaran terbuka,mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli dan seterusnya menjadikan ahli lebih mesra koperasi serta membimbing dan melahirkan usahawan yang berjaya dikalangan ahli koperasi.
Di RISDA terdapat sebanyak 64 buah koperasi meliputi 1 koperasi induk iaitu NARSCO Bhd, 55 buah Koperasi Pekebun Kecil (KPK) daerah, 5 KPK negeri dan 3 KPK gabungan.

2. PERGERAKAN WANITA PEKEBUN KECIL (PWPK)

Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) ditubuhkan bertujuan melatih dan membimbing wanita pekebun kecil dalam membentuk keluarga pekebun kecil yang sejahtera melalui aktiviti pendidikan, khidmat masyarakat, keagamaan, ekonomi, sukan dan kebudayaan. Kaedah latihan adalah berbentuk seminar,bengkel,kursus jangka pendek,konvensyen dan lain-lain. Setakat ini terdapat sebanyak 820 buah PWPK di seluruh negara.

3. KELAB GENERASI MUDA RISDA (KGMR)

Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) diwujudkan bagi menarik minat dan memberi pendedahan kepada generasi muda pekebun kecil berkaitan kerjaya dan keusahawanan dalam pelbagai sektor. Objektif pelaksanaan adalah melatih dan membimbing generasi muda pekebun kecil yang berumur antara 18 hingga 40 tahun dalam membentuk keluarga pekebun kecil yang sejahtera melalui aktiviti pendidikan, khidmat masyarakat, keagamaan, ekonomi, sukan dan kebudayaan.

4. TENAGA KERJA PEKEBUN KECIL (TKPK)

Objektif aktiviti Tenaga Kerja Pekebun kecil (TKPK) adalah mewujudkan kumpulan tenaga kerja baru dalam sektor perladangan dan industri. Generasi muda dilatih dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional. Sektor perladangan memberi tumpuan kepada lima (5) bidang iaitu semaian getah,semaian sawit,penorehan getah, penuaian sawit dan penyelenggaraan am ladang. Manakala sektor industri meliputi kursus-kursus kemahiran seperti teknologi kimpalan,baik pulih kenderaan,bakeri,jahitan,memproses makanan dan lain-lain.

PEMAJU MASYARAKAT RISDA (PMR)

Pemaju Masyarakat RISDA (PMR) merupakan individu yang dilantik di kalangan masyarakat pekebun kecil bagi membantu pihak kerajaan menjayakan aktiviti pembangunan RISDA khususnya dan negara amnya. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan di kalangan pemimpin tempatan dan masyarakat Pekebun Kecil dengan RISDA melalui kerjasama dalam menjayakan program pembangunan pekebun kecil RISDA. PMR berperanan sebagai penghubung di antara RISDA dengan masyarakat pekebun kecil bagi tujuan penyaluran maklumat atau mendapat maklum balas.

TUISYEN DESA

Program tuisyen desa telah mula dilaksanakan dibawah RMK-9 bermula tahun 2007-2010 melibatkan peruntukan dibawah Bantuan Langsung Kerajaan (BLK) sebanyak RM 2 juta. Pengurusan RISDA telah bersetuju untuk meneruskan perlaksanaan Program Tuisyen Desa dengan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang RISDA (KWR) apabila tiada peruntukan BLK bagi program ini di bawah RMK-10. Dengan perlaksanaan program ini diharap pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak pekebun kecil yang tinggal di luar Bandar akan mendapat faedah yang berikut:

  1. Meningkatkan pencapaian dalam pelajaran teras peperiksaan SPM
  2. Meningkatkan tahap keupayaan dan penggunaan masa belajar yang terancang di kalangan pelajar luar bandar
  3. Meningkatkan minat dan semangat ingin belajar serta bersaing dikalangan pelajar luar bandar agar setanding pelajar di bandar.
  4. Membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


Program ini dilaksanakan untuk memberi pendidikan tambahan 5 mata pelajaran teras SPM secara percuma kepada anak-anak pekebun kecil di kawasan luar bandar dengan lebih terancang dan sempurna untuk meningkatkan prestasi pencapaian peperiksaan SPM mereka.

  • Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil
    Perkumpulan ini merupakan salah sebuah institusi yang ditubuhkan bagi menggerakkan wanita pekebun kecil di dalam pembangunan keluarga dan ekonomi. Keahlian dianggotai dan diterajui oleh pekebun kecil wanita, isteri dan beliawanis yang menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial.

    Di antara aktiviti ekonomi yang menjadi tumpuan ialah bidang memproses makanan basah seperti sos cili, sos tomato, kicap serta makanan ringan, kraftangan, jahitan dan pertanian. Selaras dengan pelancaran Falsafah dan Strategi Baru Pembangunan Luar Bandar dalam tahun 1994, RISDA telah meningkatkan usaha membimbing ahli-ahli menjadi usahawan dan hasil keluaran mereka dikomersilkan.

• Pembangunan Koperasi Pekebun Kecil


Gerakan koperasi merupakan satu wahana pembangunan masyarakat pekebun kecil melalui pengembelengan tenaga, modal dan kemahiran pengurusan bagi meningkatkan penglibatan dan penyertaan mereka dalam aktiviti komersil. Sehingga kini 64 buah koperasi di peringkat nasional, negeri dan daerah telah ditubuhkan dan beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Struktur gerakan koperasi terdiri daripada Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (NARSCO) sebagai koperasi induk di peringkat nasional dan koperasi-koperasi pekebun kecil di peringkat negeri dan daerah

any_module
Saiz Tulisan:
A- A A+

Warna Tema:  
color black  color green  color red  color blue
any_module
Pilihan Bahasa:
Bahasa Lain:
Chinese (Simplified) Chinese (Traditional) Dutch Italian Japanese Korean
any_module
FB    RSS   Youtube