Laman Utama > Perkhidmatan > Sosial & Institusi

PROGRAM PEMBANGUNAN INSTITUSI PEKEBUN KECIL (PIPK)

RISDA telah melaksanakan Program Pembangunan Institusi Pekebun Kecil (PIPK) yang melibatkan pekebun kecil dan ahli isi rumah pekebun kecil. Matlamat program adalah meningkatkan penglibatan pekebun kecil dan Ahli Isi Rumah (AIR) dalam aktiviti-aktiviti pembangunan modal insan. Selain itu, meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti huluan dan hiliran seterusnya meningkatkan pendapatan.

Fokus pelaksanaan adalah kepada empat (4) aktiviti utama iaitu Koperasi Pekebun Kecil (KPK), Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK), Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) dan Tenaga Kerja Pekebun Kecil (TKPK).

1. KOPERASI PEKEBUN KECIL (KPK)

Koperasi Pekebun Kecil (KPK) adalah satu mekanisma untuk merealisasikan hasrat RISDA dalam meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil melalui penglibatan mereka dalam sektor ekonomi dengan penggembelengan tenaga, modal dan kemahiran.
Objektif penubuhan KPK adalah untuk membina entiti perniagaan berskala lebih besar meliputi kepentingan pembangunan anggota, membina jaringan perniagaan tempatan secara lebih meluas,memperkasakan peranan koperasi dalam memberi perkhidmatan kepada ahli, meningkatkan keupayaan koperasi supaya dapat bersaing di pasaran terbuka,mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli dan seterusnya menjadikan ahli lebih mesra koperasi serta membimbing dan melahirkan usahawan yang berjaya dikalangan ahli koperasi.
Di RISDA terdapat sebanyak 64 buah koperasi meliputi 1 koperasi induk iaitu NARSCO Bhd, 55 buah Koperasi Pekebun Kecil (KPK) daerah, 5 KPK negeri dan 3 KPK gabungan.

2. PERGERAKAN WANITA PEKEBUN KECIL (PWPK)

Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) ditubuhkan bertujuan melatih dan membimbing wanita pekebun kecil dalam membentuk keluarga pekebun kecil yang sejahtera melalui aktiviti pendidikan, khidmat masyarakat, keagamaan, ekonomi, sukan dan kebudayaan. Kaedah latihan adalah berbentuk seminar,bengkel,kursus jangka pendek,konvensyen dan lain-lain. Setakat ini terdapat sebanyak 820 buah PWPK di seluruh negara.

3. KELAB GENERASI MUDA RISDA (KGMR)

Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) diwujudkan bagi menarik minat dan memberi pendedahan kepada generasi muda pekebun kecil berkaitan kerjaya dan keusahawanan dalam pelbagai sektor. Objektif pelaksanaan adalah melatih dan membimbing generasi muda pekebun kecil yang berumur antara 18 hingga 40 tahun dalam membentuk keluarga pekebun kecil yang sejahtera melalui aktiviti pendidikan, khidmat masyarakat, keagamaan, ekonomi, sukan dan kebudayaan.

4. TENAGA KERJA PEKEBUN KECIL (TKPK)

Objektif aktiviti Tenaga Kerja Pekebun kecil (TKPK) adalah mewujudkan kumpulan tenaga kerja baru dalam sektor perladangan dan industri. Generasi muda dilatih dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional. Sektor perladangan memberi tumpuan kepada lima (5) bidang iaitu semaian getah,semaian sawit,penorehan getah, penuaian sawit dan penyelenggaraan am ladang. Manakala sektor industri meliputi kursus-kursus kemahiran seperti teknologi kimpalan,baik pulih kenderaan,bakeri,jahitan,memproses makanan dan lain-lain.

any_module
Saiz Tulisan:
A- A A+

Warna Tema:  
color black  color green  color red  color blue
any_module
Pilihan Bahasa:
Bahasa Lain:
Chinese (Simplified) Chinese (Traditional) Dutch Italian Japanese Korean
any_module
FB    RSS   Youtube